Thursday, 6 October 2011

Lagi murid dakwa dilarang ambil UPSR






WAN Mohd. Fazlan Wan Ibrahim menunjukkan surat sambil dipeluk oleh kakaknya, Wan Rahimah ketika menceritakan kejadian tidak dibenarkan mengambil peperiksaan UPSR.


KUALA KRAI 6 Okt. - Selepas murid di Sekolah Kebangsaan Bintangor, Sarawak dan Sekolah Kebangsaan Telok Sira, Baling, Kedah, mendakwa tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 dari 13 hingga 15 September, seorang murid di Sekolah Kebangsaan Telkong di sini mengadu mengalami nasib yang sama.
Wan Mohd. Fazlan Wan Ibrahim, 12, yang diberikan angka giliran DG 0251051, mendakwa tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut oleh pihak sekolah atas arahan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di sini.
Apa yang menyedihkan, katanya, dia hanya diberitahu oleh guru sekolah terbabit tidak layak menduduki peperiksaan ketika mahu memasuki dewan pada hari pertama UPSR dijalankan.
Kejadian tersebut menyebabkan anak bongsu daripada 13 beradik yang telah kematian ibu lima tahun lalu, enggan meneruskan persekolahan sebaik sahaja peperiksaan selesai kerana berasa rendah diri ekoran diejek oleh teman sebaya.
''Saya terkejut dan sedih apabila tidak dibenarkan masuk pada hari pertama UPSR dan diarahkan tidak mengambil semua kertas. Saya tanya guru tersebut kenapa saya tidak dibenarkan masuk, katanya ia arahan daripada PPD.
''Saya malu apabila kawan-kawan mengejek dan menyindir menyebabkan saya pulang ke rumah dan tidak hadir untuk mengambil kertas peperiksaan lain walaupun hati memang ingin mendudukinya seperti rakan-rakan yang lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, kakaknya, Wan Rahimah, 22, yang menemaninya kesal kerana aduannya kepada pihak sekolah hanya menerima jawapan yang mengelirukan, begitu juga keterangan pihak PPD dan wakil Kementerian Pelajaran yang menemuinya semalam.
''Selepas tidak puas hati dengan pihak sekolah dan PPD yang membuat saya seperti "bola" kerana disuruh menemui pelbagai pihak tetapi jawapannya tidak menjamin kebajikan adik saya, satu laporan polis dibuat pada Isnin lalu.
''Tujuannya untuk menuntut hak adik saya dan yang menghairankan selepas laporan polis dibuat, wakil Kementerian Pelajaran di Putrajaya datang berjumpa saya semalam dan meminta saya membuat surat pengakuan di hadapannya menyatakan kes tersebut telah selesai," katanya.
Antara alasan pihak sekolah yang ditemui selepas UPSR, katanya, adiknya lemah dalam pelajaran dan tidak mampu menjawab soalan selain memujuknya membenarkan Wan Mohd. Fazlan dimasukkan ke kelas pemulihan integrasi bagi membolehkan dia mengambil peperiksaan tahun hadapan.
''Yang peliknya, selepas memaklumkan perkara tersebut, saya disuruh ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil surat akuan yang menyatakan adik saya tergolong disleksia iaitu mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis.
''Sedangkan adik saya ditempatkan di Kelas Wawasan iaitu antara kelas untuk pelajar normal sejak tahun satu walaupun sekolah tersebut memang mempunyai kelas pendidikan khas yang mempunyai 13 murid," katanya.
Selain itu dia mempersoalkan tindakan pihak PPD menyerahkan surat bertarikh 12 September pada 2 Oktober lalu yang mempunyai kepala surat Kementerian Pelajaran memberitahu tentang Pembatalan Menduduki Peperiksaan terhadap adiknya.
''Surat itu mengelirukan saya kerana tarikh diterima oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) adalah pada 15 September 2011, iaitu tarikh akhir peperiksaan diadakan, sedangkan sejak hari pertama lagi adik saya tidak dibenarkan mengambil UPSR," katanya.
Dia juga menafikan dakwaan pihak PPD, bapa atau ahli keluarganya pernah menandatangani surat pembatalan adiknya menduduki peperiksaan pada Mac lalu walaupun mengakui dikunjungi oleh salah seorang guru sekolah tersebut.
Apa yang lebih membingungkan Wan Rahimah, hari ini adiknya menerima sepucuk surat daripada pihak sekolah yang ditandatangani oleh Guru Besar memaklumkan adiknya itu diminta datang ke sekolah pada 9 Oktober hadapan untuk pendaftaran kemasukan kelas pendidikan khas integrasi 2012.
''Selepas adik saya mempunyai angka giliran UPSR 2011 tiba-tiba sahaja dia ditawarkan memasuki kelas pendidikan khas integrasi sedangkan sebelum ini dia dibenarkan mengambil peperiksaan," ujarnya.
Pengarah Pelajaran Negeri (JPN) Hussein Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu namun enggan mengulas lanjut.
''Siasatan terhadap apa yang didakwa oleh murid itu telah selesai dan diserahkan kepada pihak kementerian dan terserah kepada mereka untuk membuat keputusan," katanya.

No comments:

Post a Comment