Thursday, 6 October 2011

Terpedaya panggilan palsu



KAJANG – Rasa bimbang seorang kakak tentang keselamatan adik lelakinya setelah menerima panggilan telefon memaklumkan adiknya dipukul oleh ceti haram menyebabkannya kerugian kira-kira RM7,500.

Mangsa, Loh Foong Khia, 30, yang tinggal di Taman Segar Perdana Cheras, dekat sini berkata, dalam kejadian 29 September lalu, seorang lelaki Cina menelefon memaklumkan kepadanya mengenai keadaan adik lelakinya yang parah akibat dipukul ceti haram.

“Lelaki berkenaan memaklumkan adik lelaki saya membuat pinjaman ceti haram kira-kira RM15,000 dan gagal menjelaskan pinjaman berkenaannya serta mengarahkannya melangsaikan hutang bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

“Saya cuba menghubungi talian telefon bimbit adik namun gagal dan bimbang dengan keselamatan adik saya menuruti arahannya dengan membayar wang RM7,500 dahulu dan bakinya hanya akan dihantar setelah adik lelaki saya balik ke rumah dengan selamat.

“Lelaki berkenaan kemudiannya bersetuju dan mengarahkan saya menghantar wang berkenaan ke sebuah Tokong Cina di Taman Connaught,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 2, Ng Tien Chee.

Menurutnya, selepas menghantar wang dan pulang ke rumah, lelaki berkenaan memaklumkan adik lelakinya akan pulang ke rumah dalam tempoh 30 minit.

“Setelah hampir 30 minit menunggu namun adik tetapi tidak muncul menyebabkan saya membuat panggilan ke telefon bimbitnya dan terkejut apabila memaklumkan keadaannya selamat dan berada di kedai.

“Adik saya juga memaklumkan dia tidak pernah berurusan dengan ceti haram apatah lagi membuat pinjaman wang dan menyedari keadaan ini keesokan harinya saya membuat laporan di Balai Polis Batu 9, Cheras,” katanya.

Sementara itu, Tien Chee berkata, masyarakat dinasihatkan usah mudah terpedaya dengan kejadian seumpama itu hingga menyebabkan kerugian wang.

“Seharusnya kita mendapatkan maklumat terlebih dahulu atau merujuk kepada pihak bertanggungjawab sebelum mengambil keputusan.

“Kita akan cuba membantu mangsa dan mengharapkan mereka yang pernah menjadi mangsa agar membuat laporan di balai polis berhampiran bagi memudahkan siasatan dilakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment