Thursday, 6 October 2011

Empat penuntut UiTM maut



MACHANG - Suasana pilu menyelubungi penuntut semester tiga, tahun dua Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang apabila lima rakan mereka terlibat kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi di sini, semalam.

Kegembiraan selepas menduduki peperiksaan semester dan akan balik kampung, semalam hilang sekelip mata apabila mendengar khabar buruk kematian empat rakan dan seorang cedera ringan apabila kereta yang mereka naiki melanggar bahagian tengah sebuah treler berdekatan Kampung Sungai Mas, di sini.



Pilu kenang saat indah



Rakan-rakan penuntut dan juga pensyarah termasuk Rektornya, Prof Madya Dr Mohd Shukri Omar memenuhi pekarangan Hospital Machang bagi mengetahui perkembangan keadaan mangsa.

Masing-masing hanya mampu menunggu dan mengalirkan air mata apabila mengingati saat indah bersama dan merasakan kejadian ia seolah-olah mimpi ngeri bagi mereka terutamanya dalam kalangan teman rapat.

Dalam kejadian itu, Mohd Shamil Malik, 19, dan Mohd Rizal Mohd Zin, 19, maut di tempat kejadian manakala Mohd Faizzudin Jamil,19; Mohd Sazwan Rosli meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian beberapa jam kemudian.



Mangsa cedera masih trauma



Mangsa yang cedera ringan, Mohd Haziq Zailani, 19, ketika ditemui masih trauma berkata, dia dan empat rakan keluar makan di Wakaf Che Yeh sebelum bersiar-siar di Pantai Cahaya Bulan.

Katanya, ketika kejadian, dia tertidur dan tersedar apabila mendengar bunyi dentuman kuat.

“Apabila membuka mata, saya lihat rakan-rakan berlumuran darah dan saya tidak mampu berbuat apa-apa,’’ katanya ketika ditanya rakan-rakan, semalam.



Tolak ajakan dengan alasan ingin ulang kaji



Rakan baik mangsa, Mohd Hazim Muhiddin, 19, berkata, rakan-rakannya ada mengajaknya menyertai mereka, namun dia menolak dengan alasan mengulang kaji pelajaran memandangkan peperiksaannya belum tamat.

Katanya, mangsa keluar ke Kota Bharu bersama-sama bagi meluangkan masa selepas tamat peperiksaan sebelum pulang ke kampung masing-masing.

“Walaupun semester ini tidak sekelas, namun kami trapat dan selalu menghabiskan masa bersama. Kami mendapat tahu kemalangan lebih kurang jam 7 pagi dan bergegas ke hospital bagi mendapatkan maklumat lanjut,’’ katanya.



Minta maaf pada rakan



Sementara itu, rakan sekelas mangsa, Alia Nor Mashitah Fadzil, 19, berkata, dia seolah-olah bermimpi apabila menerima berita mengenai kejadian itu.

Katanya, kesemua mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma Mohd Shamil ada meminta maaf darinya dua hari lalu jika ada salah dan silap, namun pada masa itu dia menganggapnya perkara biasa memandangkan mereka akan pulang bercuti.

“Malah kami juga berjanji pulang bersama ke Johor Bahru dengan tujuh rakan lain dengan menaiki kereta api malam ini (semalam),’’ katanya.



Luang masa di Kelantan sambil ambil barang



Sementara itu bapa Mohd Rizal, Mohd Zin Yaacob, 50, berkata, dia berada di rumah ayahnya, di Tanah Merah ketika kejadian dan mendapat berita kemalangan itu dari isterinya yang berada di Johor.

Katanya, dia pulang ke Kelantan beberapa hari lalu bagi mengambil barang-barang anaknya sekali gus meluangkan masa bersama ibu bapa di Ladang Kerilla.

“Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika berjumpanya dua hari lalu, cuma barangnya banyak berbanding sebelum ini,” katanya.

Turut hadir menziarahi, Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Datuk Yaakub dan menyampaikan bantuan kepada mangsa meninggal dunia.
SH:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment