Thursday, 6 October 2011

Wanita didakwa guna wang RM100 palsu beli kasut

SHAH ALAM: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan sekeping wang palsu RM100 untuk membeli sepasang kasut di Uptown Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini, pada Ahad lalu. H Malini, 21, dari Sungai Petani, Kedah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Fadhir Harun. Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11.30 malam pada 2 Oktober lalu dan dituduh mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin. Malini, yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan dia perlu membayar sewa bilik sebanyak RM450 dan tidak mengetahui bahawa wang itu adalah palsu. Hakim Mohd Fadhir kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 10 Nov untuk sebutan semula kes. - Bernama

No comments:

Post a Comment