Thursday 6 October 2011

Maut guna jalan dalam pembinaan



SEREMBAN - Seorang buruh maut, sementara isterinya cedera ringan selepas motosikal yang ditunggangi terhumban dari tebing curam di sekitar jalan yang masih dalam pembinaan berhampiran Kompleks Pentadbiran Daerah di Seremban 2 dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Chang Swee Peng (gambar) , 53, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja’afar akibat parah pada bahagian badan.

Jurucakap polis berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Suzuki yang dibonceng isterinya, Chia You Moy, 55, untuk pulang ke rumah mereka di Garden Homes, Seremban 2 setelah pulang menjemput isterinya dari tempat kerja di Kampung Baru Rasah.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai tidak perasan laluan berkenaan masih dalam pembinaan. Mereka kemudiannya terhumban ke atas permukaan jalan selepas motosikal melepasi tebing curam di lokasi kejadian.

“Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital, kira-kira jam 8 malam,” katanya, semalam.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

No comments:

Post a Comment