Thursday 6 October 2011

Motif dendam




THAIVEEGAN (tengah) bersama pegawainya menunjukkan senjata yang ditemui dalam kes bunuh pasangan suami isteri pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Polis semalam memberitahu perselisihan faham dan dendam merupakan motif utama kes pembunuhan kejam sepasang suami isteri yang mayat mereka ditemui di sebuah dusun durian Batu 30, Hulu Yam Lama, Batang Kali pada 28 September lalu.
Motif tersebut diketahui selepas pihak berkuasa itu menyoal siasat tujuh lelaki berusia di antara 16 dan 44 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan. Dua daripada suspek merupakan anak beranak dan mereka mengusahakan perniagaan bas.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, lima daripada suspek ditahan di Batang Kali dan Rasa, Hulu Selangor dua hari selepas kejadian. Semakan mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah manakala dua lagi masih berstatus Ordinan Pencegahan Jenayah (PCO).
Katanya, dua lagi ditahan di Rasa, Isnin lalu di mana salah seorangnya didapati positif syabu.
“Polis menganggap kes ini selesai selepas berjaya menemui dua bilah parang yang digunakan untuk membunuh di Sungai Selangor, Rasa iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan, dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, mayat L. Ramasandram, 57, dan isterinya, A. Bakiam, 51, ditemui terlentang di atas jalan tanah merah.
Ramasandram cedera teruk di kepala dengan kelima-lima jari tangan kanannya putus manakala Bakiam hampir putus pergelangan tangan selain turut ditetak di kepala.
Menurut Thaiveegan, pembunuhan itu bermotifkan perselisihan faham dan dendam. Kesemua suspek kini direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

No comments:

Post a Comment