Thursday, 6 October 2011

4 maut rai hari akhir peperiksaan

Foto
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Machang, semalam.

Foto
Hasrat pelajar UiTM menjamu selera tak sampai kereta bertembung treler

MACHANG: Lima pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang yang meraikan hari terakhir peperiksaan semester dengan membeli belah di Wakaf Che Yeh dan menjamu selera di Pantai Cahaya Bulan (PCB), berakhir tragedi apabila empat terbunuh, seorang cedera apabila kereta mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 5.30 pagi di Kilometer 4.2 Jalan Machang-Pasir Puteh itu, semua pelajar Tahun Dua dan tiga Diploma Seni Lukis dan Seni Reka itu, dalam perjalanan pulang iaitu 800 meter dari rumah sewa mereka sebelum kereta yang disewa melanggar treler .
Mohd Syamil Abdul Malek dari Batu Pahat, Johor dan Mohd Rizal Mohd Zin, dari Kluang, Johor, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Faizuddin Jamil dari Shah Alam, Selangor dan Mohd Sazwan Rosli, dari Pekan, Pahang, pula meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Seorang lagi, Haziq Zailani, dari Batu Pahat diberi rawatan pesakit luar di Hospital Machang dan dibenar pulang, hari ini. Semua mereka berusia 19 tahun.

Menceritakan kejadian itu, Haziq berkata, dia bersama Mohd Syamil dan Mohd Rizal sepatutnya bertolak pulang ke kampung di Kluang dan Batu Pahat pada jam 9 malam kelmarin menaiki kereta api dari stesen Tanah Merah.

“Kami keluar ke Kota Bharu untuk membeli barang dan keluar asrama kira-kira jam 10 malam dan membeli belah di Wakaf Che Yeh sebelum ke PCB,” katanya. 
Haziq berkata, ketika kejadian dia yang duduk di bahagian penumpang belakang sedang tidur, sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.

Rakan mangsa, Nurul Alya NurMashitah Fadzil,19, berkata sepatutnya beliau turut bersama mereka tetapi membatalkan hasrat itu kerana kenderaan penuh.

“Mohd Syamil memberitahu mahu ke PCB untuk kali terakhir dan bersungguh-sungguh mengajak saya kerana keesokannya, kami akan balik bersama” katanya.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedut, berkata pemandu treler itu ditahan untuk ujian air kencing.

No comments:

Post a Comment