Thursday, 6 October 2011

‘Saya bingung’

Oleh Azahar Hashim am@hmetero.com.my
 KULIM: Walaupun nasib anak gadisnya yang menghilangkan diri bersama teman lelakinya ke Nepal sudah diketahui selamat, seorang bapa kini buntu memikirkan bagaimana hendak menyediakan kos sebanyak RM10,000 bagi membawa anaknya itu pulang ke negara ini. Mohd Rasul Kassim, 50, dari Taman Kenangan, Sungai Karangan, di sini, perlu menyediakan wang sebanyak itu untuk tiket penerbangan dan lain-lain kos bagi membawa pulang anaknya, Noorshaherra, 21, yang lari mengikut teman lelakinya yang dikenali sebagai Imatyaj Khan Paithan berusia 20-an ke negara berkenaan sejak 23 Ogos lalu. “Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk membawanya pulang. Kini saya buntu kerana dengan pendapatan sebagai pemandu bas, berapa sangatlah yang dapat saya simpan. Saya amat berharap sekiranya ada pihak yang dapat membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. Harian Metro bulan lalu melaporkan Noorshaheera keluar rumah dengan alasan mahu bertemu rakannya tetapi gagal pulang sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli keluarganya. Gadis berkenaan akhirnya berjaya dikesan apabila dipercayai mengikut kekasihnya lelaki warga Nepal berusia 20-an yang dikenali sejak setahun lalu ketika bekerja di sebuah kilang di Sungai Karangan. Berdasarkan maklumat, gadis berkenaan dan lelaki Nepal itu menaiki penerbangan dari Pulau Pinang sebelum transit di Bangkok dan menuju ke Kathmandu, Nepal pada 23 Ogos lalu. Kira-kira seminggu kemudian, gadis terbabit menghubungi ibunya, Siti Fatimah Yassin, 45, meminta keluarganya tidak bimbang dengan keselamatannya selain memaklumkan sudah berkahwin dengan lelaki Nepal berkenaan. Minggu lalu, dia menghubungi kakaknya Nellie Shakira, 23, memaklumkan dia selamat selepas berlaku gempa bumi di kawasan India yang bersempadan dengan Nepal serta memaklumkan dia kini tinggal bersama keluarga lelaki terbabit di sebuah kampung di Nepal. Dalam pada itu, Siti Fatimah berkata, dia kerap menghubungi Noorshaheera melalui nombor yang diberi lelaki Nepal itu. “Dia memaklumkan keadaannya baik dan menyatakan hasrat mahu pulang ke sini,” katanya. Sementara itu, Penyelaras Badan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Kulim/Bandar Baharu, M Thuraisingam berkata, pihaknya akan membantu keluarga terbabit dengan membawa pulang Noorshaheera dan perlu mendapatkan beberapa dokumen untuk memudahkan urusan membawa pulang gadis itu. “Kita juga akan bekerjasama dengan kedutaan Nepal di sini dan kedutaan Malaysia di Nepal selain sebahagian daripada kos membawa gadis itu pulang,” katanya.

No comments:

Post a Comment