Malah, kasih sayangnya seperti udara yang selalu melekat dan setia membingkai kehidupan anaknya.
Itulah yang diibaratkan segala sesuatu yang terjadi, pahit manis, suka duka kehidupan seorang ibu di sini, kerana kasih sayangnya tanpa batasan dan tidak pernah pernah luntur sekalipun.
Tiada wang atau ungkapan yang dapat menggantikan kasih ibu dalam menyayangi anak-anaknya.
Namun, dalam kehidupan realiti, Zuraidah Mansor (bukan nama sebenar), 32, tidak dapat mencurahkan kasih sayangnya kepada dua anak kandung perempuannya, Suhaina, 10, dan Suliza, 9, (juga bukan nama sebenar) selepas kedua-dua anaknya itu tinggal bersama bekas suami selepas bercerai pada 2007.
Walau jauh di mata, rasa rindu dan kasih di hati tetap menebal dalam diri Zuraidah yang mahu menatap wajah kedua-dua anak kesayangannya.
Meskipun Zuraidah kini sudah melayari kehidupan baru, namun hati seorang ibu untuk bertemu dengan kedua-dua anak kandungnya sentiasa memanggil.
Bagaimanapun disebabkan kekangan dari segi maklumat lokasi sebenar mereka berada membatasi pertemuan tiga beranak itu.
Menurut ibu muda ini, kali terakhir dia dapat berhubung dengan bekas suaminya dan dapat mendengar suara kedua-dua anaknya itu adalah pada 2008 sebelum mereka gagal dikesan.
“Saya cuba menghubungi mereka dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) namun tidak berbalas, begitu juga dengan keluarga bekas suami yang turut tidak tahu di mana mereka berada.
“Tidak cukup dengan itu, saya cuba mencari mereka di Melaka setelah saya dimaklumkan bekas suami mendirikan rumah tangga dengan orang sana tetapi gagal,” katanya.
Zuraidah berkata, dia pernah memfailkan tuntutan hak penjagaan terhadap kedua-dua anaknya ke mahkamah setelah pelbagai cara dilakukan sebelum ini yang tidak berhasil, bagaimanapun usahanya itu sekali lagi terbantut hanya disebabkan dia tidak mengetahui lokasi bekas suaminya itu berada.
Malah, lebih mengecewakan dirinya apabila semua dokumen penting kedua-dua anaknya itu tidak berada di bawah simpanannya menyebabkan usaha mengesan semula mereka berdua menemui jalan buntu.
“Kadang-kadang apabila saya duduk sendirian di rumah, tiba-tiba wajah kedua-dua anak saya bermain di fikiran, lebih-lebih lagi apabila melihat wajah anak bongsu saya, Surina yang berusia 3 tahun, hasil perkahwinan terdahulu.
“Wajah Surina mirip wajah kedua-dua kakaknya. Apabila melihat Surina di depan mata, hati saya terdetik seperti terasa kehilangan apabila mereka tiada di sisi,” katanya.
Sudah puas ibu muda itu mencari jalan untuk bertemu dengan kedua-dua anaknya tetapi masih tidak menemui noktah kegembiraan dalam hidupnya.
“Saya cuma mahu bertemu dengan anak-anak saya, sudah sekian lama saya memendam rasa merindukan mereka berdua.
“Siapa yang tidak rindukan anak sendiri apabila dibawa pergi. Saya masih ingat telatah Suhaina dan Suliza yang sentiasa mahu memakai baju warna sama.
“Apabila si kakak mahu memakai baju berwarna merah, si adik mesti mahu mengikut warna yang sama. Malah dia juga mahu memakai pakaian sama corak dengan kakaknya,” katanya.
Selain itu katanya, Suhaina seorang yang suka mengemas tetapi sifat Suliza pula sebaliknya.
“Dia suka menyepahkan barang tetapi kedua-dua mereka berkongsi makanan kegemaran yang sama.
“Selama beberapa tahun ini, hanya gambar mereka semasa kecil sahaja yang menjadi pengubat rindu,” katanya.
Menurut Zuraidah, tiada dendam disimpan dalam hati dengan apa yang berlaku antara dia dengan bekas suaminya itu, kerana apa yang penting adalah anak.
“Anak adalah segala-galanya, saya harapkan agar dapat diketemukan dengan anak saya segera kerana itulah diharap-harapkan selama ini,” katanya.
Bagaimana wanita tabah ini menanggung kerinduan terhadap kedua anak-anaknya?
Adakah harapan wanita ini untuk bertemu dengan anaknya tercapai dengan mendapat bantuan daripada Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang membantu memfailkan semula tuntutan penjagaan anak-anaknya yang telah terpisah selama tiga tahun itu?
No comments:
Post a Comment