BESUT - Seorang lelaki yang gagal mengawal perasaan marahnya bertindak menumbuk mata seorang pemandu ambulans selepas berang dengan tindakan mangsa yang didakwanya lambat tiba untuk membawa doktor dan dua jururawat bagi membantu isterinya bersalin semalam.
Kejadian pukul 2.45 pagi itu menimpa Mohadi Mohd. Jaafar, 39, sebaik dia tiba di rumah pasangan itu di Kampung Alur Luntah dekat sini. Difahamkan, ketika mereka tiba, isteri lelaki itu telah selamat melahirkan sepasang anak kembar.
Menurut Mohadi, kemungkinan atas sebab itu lelaki tersebut yang marah kerana isterinya bersalin tanpa bantuan doktor dan jururawat terus menumbuk mata kirinya.
"Selepas mendapat panggilan daripada Penolong Pegawai Perubatan di unit kecemasan Hospital Besut pada pukul 2.30 pagi, saya mengambil seorang doktor dan dua jururawat lalu terus memandu ke lokasi yang diarahkan.
"Sebaik saya tiba di rumah pasangan itu 15 minit kemudian, doktor dan dua jururawat terus masuk ke rumah. Seorang lelaki kemudian memarahi saya dan terus menumbuk mata kiri saya kerana katanya sebagai 'hadiah' kerana tiba lewat untuk membantu isterinya bersalin," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, dalam menahan sakit, dia masih sanggup membawa pasangan bayi itu dan ibunya ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Saya lakukan tugas itu sebagai tanggungjawab hakiki saya membawa orang yang sakit atau memerlukan bantuan ke hospital," katanya lagi.
Ujar Mohadi, dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.
Dia membuat laporan di Balai Polis Jerteh kira-kira pukul 3.25 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan siasatan masih dilakukan sebelum polis mengambil mengambil tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment