Thursday 6 October 2011

Pelajar dipukul akibat wang jualan sayur


REDHUAN...terima lapan jahitan di dahi.
REDHUAN...terima lapan jahitan di dahi.

SEREMBAN: Seorang bapa tersentak apabila mengetahui anak lelakinya yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini, cedera dipukul pelajar lain berikutan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan wang jualan sayur, kelmarin.
Difahamkan, insiden antara mangsa, Redhuan Mohd Anas Shanker, 14, dan beberapa pelajar di padang sekolah berkenaan menyebabkannya menerima lapan jahitan di dahi selain cedera di muka. Menurut bapa mangsa, Mohd Anas Shanker Abdullah, 43, dia yang membeli sayur di pasar terkejut apabila menerima panggilan daripada guru sekolah memaklumkan kejadian itu, pada jam 1 tengah hari.

“Guru itu memberitahu anak saya cedera dan dibawa ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan lanjut. “Saya ke klinik berkenaan dan mendapati dahinya berdarah sambil dia menangis kerana menahan kesakitan,” katanya di sini, semalam.

Anas berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada seorang lagi anaknya, Syuib, 15, yang belajar di sekolah sama.

“Dia (Syuib) memberitahu, beberapa pelajar menumbuk adiknya (Redhuan) di padang sekolah berkenaan. Ketika itu, Syuib cuba membantu, tetapi dia ditolak dan terjatuh ke dalam longkang namun tidak cedera.

“Selain itu, dia memaklumkan pergaduhan berpunca perselisihan faham membabitkan wang jualan sayur,” katanya.


Kata Anas, Redhuan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, dia kesal dengan kejadian menimpa anaknya yang cedera di kawasan sekolah. “Saya amat berharap pihak sekolah melakukan sesuatu bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku kepada pelajar lain pada masa akan datang,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Rantau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

No comments:

Post a Comment