Monday, 3 October 2011

Nenek selamat dua cucu



CHEMOR – Tindakan segera seorang nenek mengarahkan dua cucunya keluar rumah selepas terhidu bau getah terbakar berjaya menyelamatkan Siti Nur Balkis Roszali, 5, dan Mohamad Syawal, 4, daripada menjadi mangsa kebakaran di Kampung Sri Klebang di sini, kelmarin.

Lima sekeluarga itu bagaimanapun tinggal sehelai sepinggang apabila Rumah Mesra Rakyat yang baru diduduki empat bulan lalu musnah dalam kejadian jam 7 malam kelmarin.

Mangsa, Aziah Endut, 62, berkata, dia menyedari berlaku kebakaran selepas ternampak kepulan asap dan api di wayar elektrik bahagian bilik utama rumah.

“Saya mengarahkan dua cucu yang sedang menonton televisyen keluar dan mendapatkan bantuan dari jiran. Sebaik sahaja keluar, rumah sudah pun terbakar.

“Saya tidak berdaya untuk berbuat apa-apa kerana api telah membakar semua perabot. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana musibah ini tidak meragut nyawa kami sekeluarga,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Aziah yang bekerja sebagai tukang cuci tidak sempat membelanjakan wang gajinya yang baru diterimanya. Ketika kejadian, suaminya, Suparman Wadiman, 76, tiada di rumah.

Keluarganya mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila semua perabot dan barang elektrik musnah.

Anaknya, Zalika Suparman, 26, hampir pengsan melihat kejadian itu selain memikirkan keselamatan dua anaknya yang tinggal di rumah berkenaan.

“Saya sudah mula berasa tidak sedap hati apabila nampak asap tebal dari kawasan rumah. Bila sampai saya terus mencari anak saya dan saya berasa lega apabila semuanya selamat.

“Saya terkilan apabila semua dokumen penting hangus dalam kejadian itu. Walaupun penduduk berusaha memadam kebakaran, tetapi api cepat merebak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba II Jabatan Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.08 malam dan tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

Menurutnya, Seramai 13 anggota dari balai Ipoh bersama tiga jentera ditugaskan.

“Ketika tiba, sudah 100 peratus terbakar dan siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari bahagian bilik depan rumah. Bagaimanapun, punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

Kejadian itu turut mendapat perhatian dari Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Pihaknya akan mengambil tindakan segera dengan mengumpul semua maklumat termasuk laporan siasatan bomba untuk diserahkan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Berdasarkan maklumat lisan dengan pihak penyiasat Bomba mendapati struktur rumah berkenaan lemah dan tidak boleh dibaik pulih. Keluarga ini memerlukan sebuah rumah baru dan kita sedang berusaha.

“Ketua kampung diarah untuk mendapatkan sebuah rumah bagi menempatkan keluarga ini sementara rumah disiapkan dan perbelanjaan mereka ditanggung,” katanya.

No comments:

Post a Comment