Dalam operasi yang dijalankan di Perkampungan Bukit Setongkol Perdana itu, pihak dari Cawangan Pencegah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang bertindak menyerbu rumah itu hasil intipan dan maklumat orang awam.
Ketika serbuan jam 6 petang itu, tauke loteri dalam lingkungan umur 40-an itu sedang nyenyak tidur di ruang tamu rumahnya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud berkata, ketika disoal siasat, tauke berkenaan berpura-pura tidak tahu tentang aktiviti judi ekor haram itu.
“Setelah menjalankan pemeriksaan, polis merampas 1 mesin faks, 1 modem, 1 mesin kira, sebuah telefon bimbit, sim kad telefon bimbit, wang berjumlah RM2042, 69 keping kertas tercatat angka-angka serta bil elektrik.
“Ketika ditanya, lelaki berkenaan memberikan alasan menggunakan barang-barang tersebut untuk kemudahan urus niaga dengan pelanggan,” katanya.
Lelaki berkenaan bagaimanapun ditahan dan dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, dalam operasi yang sama, polis turut menahan empat orang wanita dan lima orang lelaki dalam lingkungan umur 40 hingga 60 tahun hasil serbuan di tujuh lokasi di Perumahan Teruntum, Bukit Sekilau, Semambu, Kubang Buaya dan Sungai Lembing.
Mohd Haris berkata, jumlah keseluruhan rampasan yang berjaya dilaksanakan kelmarin, adalah 145 helai kertas tercatat angka-angka yang disyaki loteri awam haram, 17 buku yang mengandungi catatan angka-angka, lima mesin faks, sebuah modem, 10 mesin kira-kira, enam telefon bimbit, dua sim kad, 12 batang pen, empat helai bil elektrik dan wang tunai sebanyak RM33, 991.
Mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Katanya Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM 20,000 dan tidak lebih dari RM 200,000 dan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun.
“Pihak polis akan sentiasa mengambil tindakan dalam membanteras aktiviti perjudian secara berterusan.
“Justeru, pihak polis berharap masyarakat tidak terlibat dalam kegiatan perjudian ini dan meminta kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya ada kegiatan perjudian,” katanya.
No comments:
Post a Comment