Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Aliff Yahya, 19, dari Kampung Bukit Beruntung, Tepoh, Kuala Terengganu tidak mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu dan mohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh antara 17 Jun lalu kira-kira jam 2 pagi hingga 29 September lalu kira-kira jam 8.20 pagi bertempat di kawasan semak di Kampung Penjara Bukit Jong, Tepoh dengan sengaja menolong memindahkan harta iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha Ego S 115 nombor pendaftaran TBC 5266 dengan mengetahui harta itu adalah harta curi.
Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang boleh di penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Sebaik pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Majistret Noradila Ab Latif menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh dijamin RM2,500 bagi seorang penjamin.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Anak Dustan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhamad.
Berdasarkan fakta kes, pada 17 Jun lalu kira-kira jam 2 pagi, pengadu, Nor Azaha A Wahab, 50, dari Lot 15263P Jalan Gong Badak telah meletakkan motosikal di hadapan rumahnya dan menyedari motosikal itu hilang kira-kira jam 7 pagi.
Setelah yakin motosikal itu dicuri, pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak.
Pada 29 September lalu kira-kira jam 6 pagi, Inspektor Narizan bersama sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu telah membuat serbuan di rumah No 199 Kampung Banggol Nyior, Tepoh.
Tertuduh yang ketika itu berada di rumah membuka pintu dan selepas pemeriksaan di dalam rumah, polis gagal menjumpai sebarang barang salah.
Tertuduh dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga untuk disiasat kira-kira jam 7.30 pagi hari sama berkait dengan penglibatannya dalam kes mencuri motosikal dan selepas disiasat, tertuduh telah mendedahkan serta mengaku ada meleraikan sebuah motosikal curi jenis Yamaha Ego S yang diambil dari Zerin (nama gelaran) dan abangnya.
Tertuduh turut mendedahkan casis motosikal itu telah dibuang di dalam kawasan semak di Kampung Penjara Bukit Jong, Tepoh.
Bertindak atas maklumat yang diberikan itu, kira-kira jam 8.20 pagi, anggota polis dengan dipandukan arah oleh tertuduh ke kawasan yang dinyatakan dan tertuduh telah menunjukkan sebuah casis motosikal warna hitam dipercayai milik pengadu yang dilaporkan hilang sebelum ini.
No comments:
Post a Comment