Tuesday 4 October 2011

15 rumah kongsi musnah




BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA – Deretan 15 rumah kongsi yang menempatkan lebih 65 pekerja asing sebuah kilang papan dekat sini musnah dalam kebakaran kira-kira jam 7.20 pagi semalam.

Pemangku Ketua Balai Bomba Bandar Jengka, Roslan Abu Talib berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.30 pagi sebelum menghantar dua jentera dengan kekuatan 17 anggota.

Menurutnya, jentera tiba lima minit selepas itu dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke deretan blok hadapan yang turut menempatkan 15 rumah kongsi pekerja kilang papan tersebut.

“Berikutan struktur binaan rumah kongsi tersebut terdiri daripada kayu dan papan lapis, kebakaran merebak cepat menyebabkan deretan 15 rumah kongsi blok belakang hangus namun api berjaya dikawal daripada terus merebak ke blok hadapan yang jaraknya kurang daripada sepuluh kaki dari blok yang terbakar.

“Kita turut mendapat bantuan daripada Balai Bomba Jerantut dengan sebuah jentera dan tujuh anggota termasuk ketua operasi,” katanya.

“Punca kejadian dan kerugian yang dialami masih dalam siasatan pihak bomba walaubagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya kepada Sinar Harian.



Hasrat pulang ke kampung tidak tercapai



Seorang pekerja asing dari Kemboja, Mat Som, 25, berkata, ketika kejadian dia dan lebih 10 rakannya baru menghabiskan sif kerja malam yang bermula jam 7 malam dan tamat pada jam 7 pagi.

“Ketika sampai ke kawasan rumah kongsi saya nampak kepulan asap dari arah belakang dapur rumah nombor enam dan hanya menyangka mereka membakar sampah di situ.

“Saya bertindak memasuki rumah untuk berehat dan ketika berbaring tidak sampai dua minit asap memenuhi bumbung dalam rumah sebelum saya keluar dari rumah,” katanya.

Mat Som berkata, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan dia dan rakan lain tidak sempat menyelamatkan barang yang berada di dalam rumah melainkan pakaian yang disarung di badannya.

“Duit simpanan lebih RM3,000 dan barangan keperluan yang dibeli untuk pulang bercuti ke Kemboja menemui keluarga minggu hadapan turut musnah kerana api merebak dengan cepat,” katanya kepada Sinar Harian.



Bahagian dapur rosak



Seorang lagi mangsa warga tempatan, Ismail Omar, 50, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja namun pulang selepas dimaklumkan ada kebakaran.

“Namun saya bersyukur kerana hanya bahagian dapur rumah rosak akibat kebakaran tersebut ekoran bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke blok hadapan rumah kongsi ini.

“Saya bersama isteri dan tiga orang anak tinggal di blok hadapan rumah kongsi ini bertindak menyelamatkan barang penting namun bersyukur kebakaran tidak merebak ke rumah kami memandangkan jarak kedua-dua blok terlalu hampir,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail ketika melawat ke kawasan kejadian memaklumkan bantuan barangan keperluan dapur untuk pekerja asing yang kehilangan tempat tinggal buat sementara waktu dan akan berurusan dengan pihak majikan sekiranya mereka memerlukan bantuan dari segi keperluan asas seperti tilam, tikar dan sebagainya.

“Pihak majikan telah membuat penempatan sementara untuk pekerja mereka dan kita akan bantu berdasarkan keperluan mereka sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment