Tuesday, 4 October 2011

Geng kubur tumpas di jirat



KUALA LUMPUR – Selepas memecahkan cermin kereta dan melarikan barang berharga, dua lelaki menganggotai kumpulan geng kubur akan bersembunyi di tanah perkuburan Cina di Taman Connaught, Cheras.

Di situ, mereka berehat, mengagihkan hasil samun dan membuang barang tidak berharga.

Namun aktiviti santai itu, tumpas, 28 September lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohan Singh Tara Singh berkata, kumpulan dianggotai dua lelaki tempatan, berumur 24 dan 25 tahun, itu aktif melakukan jenayah sejak awal tahun lalu dengan 23 kes di Cheras, Brickfields dan Petaling Jaya.

Menurutnya, satu pasukan khas diketuai Asisten Superintendan Nasri Mansor berjaya memberkas suspek, kira-kira jam 10 malam, di tanah perkuburan itu.

Suspek cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal tetapi kenderaan tersebut terbabas lalu seorang suspek ditahan, manakala seorang lagi diberkas selepas berlari sejauh satu kilometer.

“Mereka mensasarkan kenderaan berhenti di persimpangan lampu isyarat, pembonceng akan menggunakan folk lock untuk memecahkan cermin kereta dan selepas itu mereka lari bersama barang berharga milik mangsa,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

Mohan Singh berkata, serbuan di rumah suspek di flet Sri Sabah menemui barangan seperti surat pajak gadai, kad pengenalan mangsa, kad bank dan telefon bimbit dan motosikal Yamaha LC 135.

“Kita sudah mendapatkan 11 barang kemas digadai suspek di beberapa premis pajak gadai,” katanya.

Beliau berkata, kini mereka ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment