Tuesday 4 October 2011

Dua kali masjid terbakar



BOTA – Dalam masa beberapa jam, dua kebakaran membabitkan Masjid Ar-Rahmaniah, Kampung Padang Changkat, di sini, berlaku awal pagi semalam, menyebabkan masjid yang telah dibina semenjak 1989 serta berkapasiti memuatkan 200 jemaah dalam satu masa, musnah sepenuhnya.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Perak Tengah, Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Sharip Kasim berkata, kejadian pertama dilaporkan penduduk pada jam 9.50 malam dan ketika itu tidak ada jemaah dalam masjid berkenaan selepas semuanya balik ke rumah masing-masing setelah selesai solat Isyak.

“Penduduk kampung menyedari kejadian apabila ternampak kepulan asap dan api yang marak dari atas bumbung masjid, lalu menghubungi pasukan bomba dalam kadar segera.

“Seramai tujuh anggota bomba bersama sebuah jetera kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan tiba beberapa minit kemudian untuk berusaha memadamkan kebakaran hingga selesai sepenuhnya pada jam 11 malam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurut Mohd Sharip, pasukan bomba bagaimanapun membuat pemantauan sehingga jam 3.30 pagi bagi memastikan keadaan selamat sepenuhnya sebelum bergerak balik ke balai dan beliau turut memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Namun, sekitar jam 5 pagi, menurutnya, Pasukan Bomba dan Penyelamat Perak Tengah mendapat panggilan yang memaklumkan masjid berkenaan terbakar semula, menyebabkan pasuka bomba terpaksa bergegas kembali ke lokasi kejadian.

Katanya, kejadian pertama membabitkan bahagian stor Masjid Ar-Rahmaniah sehingga 50 peratus bahagian belakang masjid berkenaan, manakala kejadian kedua membabitkan bahagian depan meliputi mimbar serta ruang solat, menyebabkan bangunan masjid itu hangus sepenuhnya.

“Kita tidak menolak kemungkinan kejadian pertama berpunca daripada litar pintas, namun untuk kejadian kedua, terdapat maklumat daripada jawatankuasa masjid yang mendakwa kemungkinan ada unsur perbuatan khianat.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menyiasat secara terperinci punca kejadian, terutama kejadian kedua dan anggara kerugian adalah sebanyak RM450,000,” katanya.



Cemas, tidak dapat buat apa-apa



Ketua Kampung Padang Changkat, Hamzah Mat Rashid terkejut ketika menerima panggilan daripada Pengerusi Masjid Ar-Rahmaniah berhubung kebakaran di masjid itu dan melihat sendiri pasukan bomba berusaha memadamkan api yang telah menjilat separuh bahagian masjid dalam kejadian pertama.

Hamzah berkata, beliau turut dimaklumkan, penduduk kampung telah cuba memadamkan kebakaran, namun gagal kerana masjid itu berkunci semasa kejadian, tambahan api merebak dengan cepat.

“Saya bertambah terkejut apabila dimaklumkan kebakaran kali kedua yang berlaku selang beberapa jam dan disedari Bilal Masjid Ar-Rahmaniah ketika sampai ke masjid untuk membuat persiapan Solat subuh.

“Tentunya saya serta seluruh penduduk sedih dengan kemusnahan masjid ini dan saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut tentang punca kejadian,” katanya.

Mewakili jawatankuasa masjid itu dan kampung berkenaan, beliau menyarankan kepada mana-mana individu, jabatan atau orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, dapat menyalurkan terus ke akaun Bank Islam di atas nama Masjid Ar-Rahmaniah, Kampung Padang Changkat bernombor 08-086-02-000403-4, untuk membaik pulih masjid itu.

“Jawatankuasa masjid ini berserta saya sendiri turut memohon bantuan peruntukan sebanyak RM800,000 daripada kerajaan untuk menampung kos baik pulih masjid dan kita mohon jasa baik kerajaan pusat untuk membantu dalam perkara ini.



Bantuan segera



Kebakaran Masjid Ar-Rahmaniah turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria dan Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.

Mohd Nizar yang berada di Parlimen ketika dihubungi berkata, beliau akan menyalurkan bantuan segera untuk membina tempat ibadah dan kuliah sementara.

“Saya telah menghubungi Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Perak Tengah dan telah berbincang untuk menyediakan khemah sementara dalam kawasan masjid untuk kegunaan sementara ahli kariah.

“Saya harap bantuan segera ini dapat meringankan sedikit beban jawatankuasa masjid dan kita akan membantu mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Nasaruddin ketika dihubungi, memaklumkan, beliau akan membawa perkara itu kepada Kerajaan Negeri dan telah meminta JKR Daerah Perak Tengah membuat anggaran kos baik pulih masjid itu untuk dikemukakan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Kita tunggu laporan penuh daripada JKR dan untuk langkah sementara saya, pengerusi masjid juga ketua kampung telah bersetuju menggunakan bangunan dewan makan bersebelahan masjid sebagai tempat solat sementara, serta kita akan bekalkan tikar, sejadah, juga alat pembesar suara bagi kemudahan ahli kariah,” katanya.

No comments:

Post a Comment