CHOOI GUAN kini dirawat di Hospital Pulau Pinang selepas rumahnya ranap dihempap menara kren di Georgetown, semalam. |
KEADAAN menara kren yang runtuh dan menghempap bumbung rumah kedai dan bangunan. |
GEORGETOWN: “Saya amat takut kerana keadaan gelap dan badan ditindih batu-bata serta dipenuhi debu,” kata mangsa yang terselamat dalam runtuhan selepas menara kren menghempap rumah kedai di sini, semalam.
“Saya bersyukur kerana terselamat, tetapi sedih apabila mengetahui Liang Yit Kwang, meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang, semalam.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam itu, isteri Chooi Guan, Chew Chong Choo, 76, dan anaknya, Luar Seong Ean, 54, cedera dan turut dimasukkan ke hospital sama.
Mereka sekeluarga serta Yit Kwang dihempap batu apabila menara kren pembinaan hotel tumbang dan menghempap rumah kedai yang mereka diami. Yit Kwang, 65, adalah pekerja keluarga itu.
Ketika kejadian, semua mangsa tidur di tingkat atas rumah kedai dua tingkat yang dibina sebelum perang. Bangunan usang itu mempunyai tiga unit rumah kedai dan semua mangsa tinggal di unit sama manakala dua unit lagi tiada penghuni.
Sementara itu, penghuni rumah berdekatan, Mohamed Iqbal Abdul Ghafar, 48, berkata dia terkejut selepas mendengar dentuman kuat ketika menonton televisyen di rumahnya.
Selepas mendapati menara kren tumbang dan menghempap rumah kedai berhampiran, dia bersyukur kerana rumahnya yang terletak 30 meter dari situ terselamat.
"Ketika hujan dan angin kencang, saya terdengar bunyi dentuman. Saya berlari keluar dan mendapati menara kren tumbang," katanya. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat berkata, lima jentera bomba dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.20 tengah malam.
Anggota bomba dari Balai Bomba Jalan Perak, Lebuh Pantai, Bagan Jermal dan Bayan Baru, dibantu bomba sukarela dan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta polis, mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata pihaknya menjalankan kawalan keselamatan di sekitar tempat lokasi sejak jam 12.30 tengah malam.
“Kami sudah mengarahkan semua penghuni di sekitar kawasan berkenaan mengosongkan premis sebagai langkah keselamatan,” katanya.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Pulau Pinang, Mohd Anuar Embi berkata, pihaknya masih menyiasat punca menara kren tumbang dan tidak menolak kemungkinan berpunca daripada keadaan cuaca, struktur dan tempat kren terbabit dipasang.
“Masih awal membuat andaian dan kami meminta bantuan Bahagian Kejuruteraan Forensik dan Keselamatan Industri di Putrajaya untuk membantu siasatan,” katanya.
No comments:
Post a Comment