Tuesday, 4 October 2011

Kebun pisang berdarah


PERIKSA...anggota forensik menyiasat lokasi pembunuhan kontraktor, semalam.
PERIKSA...anggota forensik menyiasat lokasi pembunuhan kontraktor, semalam.

SAYU...ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat mayat mangsa.
SAYU...ahli keluarga tidak dapat menahan
kesedihan selepas melihat mayat mangsa.

KOTA BHARU: Mayat seorang kontraktor ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila tangannya terikat di belakang, mukanya dipenuhi kesan lebam dan kepalanya berlumuran darah dalam sebuah kebun pisang berdekatan Kampung Kubang Palas, Binjai, di sini, semalam.
Mayat itu ditemui pada jam 7.50 pagi oleh penduduk kampung, Zamizi Mohamad, 42, yang dalam perjalanan ke kebunnya untuk memetik sayur sebelum dia memaklumkannya kepada penduduk kampung dan menghubungi polis.

Menurut Zamizi, memang menjadi rutin hariannya ke kebun yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah untuk memetik sayur bersama isteri, Mariam Hamzah, 38 dan tidak menyangka bertemu ‘tetamu tidak diundang’ itu.

“Saya terkejut menemui mayat seorang lelaki dengan tangan terikat di belakang, muka dipenuhi kesan lebam dan kepalanya berlumuran darah di sebuah kebun pisang.

“Saya segera memaklumkan kepada penduduk kampung sebelum menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis menerima laporan penemuan mayat itu kira-kira jam 8 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan Unit Forensik ke tempat kejadian.


Katanya, mayat itu dikenali sebagai Saw Yee Siang, 57, seorang kontraktor berasal dari Tumpat.

“Mayat ditemui dalam keadaan tertiarap dan tangannya terikat di belakang. Siasatan mendapati, mangsa mati selepas dipukul dengan benda keras dalam keadaan kepalanya dibungkus dengan kain.

“Kami percaya mangsa mati kira-kira 10 jam sebelum ditemui dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII),” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kelantan, di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan keluar rumah malam kelmarin bersama seorang kenalannya.

“Kami percaya mangsa mungkin mempunyai musuh.

“Ketika mayatnya ditemui, mangsa berpakaian lengkap, tetapi ada kecederaan di kepala dan badan selain semua barangan berharga termasuk jam, dompet dan telefon bimbitnya hilang,” katanya.

Jalaluddin berkata, setakat ini polis sudah menemui beberapa petunjuk dan akan melakukan siasatan lanjut termasuk menyemak latar belakang mangsa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan diklasifikasikan sebagai kes bunuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment