Tuesday 4 October 2011

Jangan tertipu delima ‘ajaib’



Oleh Mohd Idris Sulaiman 
bhnews@bharian.com.my
2011/10/04

Polis buru dua suspek tipu orang ramai dengan batu dimasukkan LED 

PARIT: Batu delima ‘ajaib’ yang di dalamnya dimasukkan diod pemancar cahaya (LED) hingga mampu mengeluarkan cahaya kemerah-merahan digunakan dua lelaki berkopiah dan berpura-pura bomoh untuk menipu ribuan ringgit wang dua warga tua di pekan ini.
Berikutan itu, polis sedang memburu dua suspek berusia lingkungan 40 hingga 50-an kerana memperdaya mangsa dengan mendakwa kononnya batu geliga itu boleh mendatangkan kekayaan serta menyembuhkan penyakit, dalam dua kejadian berasingan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman, berkata dalam kejadian terbaru 24 September lalu, kedua-dua suspek menghampiri seorang warga tua berusia 60 tahun sebelum menawarkan batu geliga berkenaan yang kononnya diperturunkan sejak sekian lama. 

Katanya, suspek yang berlagak sebagai bomoh kemudian melakukan demonstrasi dengan meletakkan batu itu ke dalam bekas air yang kemudian mengeluarkan cahaya kemerahan-merahan. 

Beliau berkata, suspek kemudian meminta mangsa membayar jika mahu memiliki batu terbabit. 

“Tanpa menyedari diperdaya, mangsa mengeluarkan wang daripada sebuah bank dan menyerahkan sebanyak RM6,000 kepada suspek sebelum terus pulang ke rumah. 
Mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas anaknya pulang daripada kerja iaitu selepas anaknya itu membelah batu dan mereka terkejut apabila mendapati ada LED di dalamnya. 

“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan selepas disemak, ia kes kedua penipuan seperti itu di sini,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini, semalam. 

Mohamad Fakri berkata, kes pertama turut membabitkan seorang warga tua dan mangsa berkenaan mengeluarkan beribu ringgit daripada bank dan diserahkan kepada suspek. 

Justeru, beliau meminta orang ramai khususnya warga tua supaya tidak mudah tertipu dengan sindiket jualan batu ‘ajaib’ seperti itu. 

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dan termakan pujuk rayu sindiket itu. Kita juga meminta orang ramai buang sikap tamak atau mahu cepat mendapatkan keuntungan atau kaya kerana kekayaan dan keuntungan tidak datang bergolek,” katanya.

No comments:

Post a Comment