Tuesday, 4 October 2011

Sengaja menempah maut



KUALA LIPIS - Menempah maut. Demikian gelagat sebahagian penunggang motosikal yang menunggang tanpa memakai topi keledar melalui Jalan Persekutuan antara bandar Kuala Lipis ke Jerantut.

Salah seorang pengguna jalan raya, Khairul Ashraf Othman, 35, berkata, penunggang yang kebanyakannya remaja sanggup berlumba sesama sendiri di laluan utama tanpa rasa takut dan bersalah terhadap pengguna jalan raya lain termasuk pejalan kaki.

Menurutnya, apa yang lebih berbahaya adalah mereka menjadikan laluan lurus berhampiran Pekan Kerambit untuk menunjukkan ‘kehandalan’ berlumba sesama sendiri.

“Saya kerap melalui jalan ini dan pernah secara tiba-tiba dua motosikal yang ditunggang mereka muncul memasuki jalan raya (jalan utama) dalam keadaan yang agak laju.

“Apabila menghampiri motosikal itu, saya lihat kaki kanan seorang penunggang sedang menolak motosikal rakannya yang saya duga motosikal itu rosak dan mereka dalam perjalanan ke bengkel,” katanya, di sini, kelmarin.

Khairul Ashraf berkata, gaya kedua-dua penunggang itu nyata menyalahi peraturan keselamatan jalan raya dan mengganggu pemanduan kenderaan di belakang dan hadapan termasuk kenderaan berat yang memunggah bijih besi keluar dari sebuah kuari berdekatan Pekan Kerambit.

“Saya dan pemandu kenderaan lain terpaksa bergerak perlahan sejauh dua kilometer kerana `melayan’ kerenah dua penunggang yang bersantai di atas motosikal tanpa mempedulikan kenderaan lain.

“Jika hendak diikut perasaan kesal dan amarah, barangkali dua penunggang itu sudah kena ‘lenyek’ kerana mereka tidak menghormati pemandu dan pergerakan kenderaan lain,” katanya.

Khairul Ashraf berkata, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) memperuntukkan banyak wang melaksanakan kempen advokasi keselamatan jalan raya termasuk menyumbang topi keledar percuma dan perekat keselamatan, tetapi kesedaran masih di takuk lama.

“Selain itu, anggota polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara agensi yang berkolaborasi dengan MKJR dan JKJR untuk jaminan keselamatan pengguna dan kenderaan pada setiap masa.

“Tetapi, senario seperti ini antara sikap manusia yang sengaja mengabaikan keselamatan dan nyawa sendiri dan kadang-kadang mengancam keselamatan orang lain ketika di jalan raya.

No comments:

Post a Comment