Tuesday, 4 October 2011

Modus operandi makan diri



MUAR – Kelicikan seorang penjenayah menggunakan taktik berjoging di sekitar kawasan perumahan sebelum memecah masuk rumah yang disasarkan tidak berpanjangan apabila dia berjaya ditangkap polis pada 8 September lalu.

Modus operandi itu digunakan kononnya untuk mengaburi pihak berkuasa dan orang ramai daripada mengesan kegiatannya itu, tetapi gagal.

Malah, tindakan lelaki berusia 46 tahun itu yang berjoging sambil membawa beg sandang hanya mengundang kecurigaan orang ramai yang mula mengesyaki perbuatannya itu.

Lebih mengejutkan apabila mendapati dalam beg sandang tersebut mengandungi banyak kelengkapan alatan untuk memecah masuk rumah.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, motif suspek berjoging hanyalah untuk mengenal pasti rumah yang tidak berpenghuni sebagai sasarannya untuk melakukan pecah masuk rumah antara jam 7 hingga 12 malam.

Menurutnya, suspek akan mengumpil pintu dan tingkap menggunakan peralatan yang dibawa dan suspek juga bergerak secara bersendirian sepanjang melakukan kegiatan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Bapa kepada tiga anak ini tidak pernah serik dengan kegiatan jenayah yang dilakukannya itu berdasarkan tiga rekod jenayah yang dimilikinya antaranya mencuri motosikal,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Mohamad Nasir berkata, suspek juga seorang penganggur menjadikan kegiatan pecah masuk rumah sebagai pekerjaannya.

“Hasil risikan dan maklumat awam, akhirnya pihak polis berjaya memberkas suspek pada jam 3.15 petang ketika dia berada di rumahnya di Parit Jawa.

“Penangkapan lelaki itu berjaya menyelesaikan tujuh kes kejadian pecah masuk rumah yang berlaku di sekitar Parit Jawa,” katanya.

Dalam tangkapan itu juga katanya, polis turut merampas beberapa barangan termasuk enam komputer riba, dua telefon bimbit, tiga cincin, kamus elektronik, mesin pemotong rumput dan mesin air yang dianggarkan bernilai RM20,000.

“Hasil pemeriksaan rapi juga mendapati suspek merupakan penagih dadah serta positif dadah jenis heroin dan morfin.

“Suspek sudah dituduh di mahkamah dan sedang menjalani hukuman penjara selama 19 bulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment