Tuesday 4 October 2011

Dua murid melecur terlanggar periuk sup panas



HAZIQ Haikal Mohd. Razif dirawat di Wad Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu selepas melecur tangan dan paha akibat terkena tumpahan kuah sup di kantin sekolahnya, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 4 Okt. - Dua murid tahun satu sebuah sekolah di sini melecur di beberapa bahagian badan selepas ditolak sehingga terlanggar periuk berisi sup panas ketika beratur di kantin sekolah itu semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu mengakibatkan Mohd. Nabil Faris Mohd. Azidi, 7, melecur di leher, tangan dan perut manakala rakan sekelasnya, Haziq Haikal Mohd. Razif pula melecur di tangan dan paha kanan.
Haziq Haikal ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata, ketika kejadian, dia sedang beratur di belakang Mohd. Nabil untuk membeli makanan.
Katanya, dia sempat melihat beberapa murid lain menolak mereka dari belakang sehingga terlanggar sebuah periuk berisi sup panas yang diletakkan di atas sebuah meja di kantin sekolah tersebut.
"Periuk itu tumpah dan supnya terkena tangan saya. Nabil pula melecur teruk sebab dia di depan saya ketika itu," katanya sambil memberitahu jumlah murid yang beratur terlalu ramai ketika kejadian.
Dalam pada itu, datuk kepada Haziq Haikal, Mohd. Fauzi Abdullah, 52, ketika ditemui melahirkan rasa terkilan di atas kecuaian pihak kantin sekolah yang meletakkan periuk sup di tempat yang tidak sepatutnya.
"Kita faham perangai budak-budak apabila berada di kantin sekolah. Saya berharap pihak sekolah dan kantin mengambil langkah lebih bertanggungjawab selepas ini bagi mengelak kejadian seperti ini daripada berulang," katanya yang tidak bercadang untuk membawa perkara itu ke peringkat yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment