Tuesday, 4 October 2011

Trauma dikurung penyamun



KELANA JAYA – Seorang wanita dan pembantu rumahnya melalui detik ngeri dikurung penyamun di dalam bilik berasingan dalam kejadian yang berlaku di SS 5A /17 c dekat sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa didatangi lapan lelaki masing-masing bersenjatakan parang yang kemudian bertindak memaksanya menyerahkan barangan berharga yang disimpan di dalam rumah.

Menurut sumber, kelima-lima penyamun itu sempat melarikan barang kemas dan sejumlah wang mangsa.

“Ketika kejadian suami wanita itu tiada di rumah dan mangsa hanya tinggal berdua bersama pembantu rumahnya,” katanya.

Kesemua penyamun bertopi keledar berpenutup penuh berusia dalam lingkungan 20-an mengambil masa kira-kira lima minit untuk menggeledah dan melarikan barangan berharga milik mangsa.

“Jiran mangsa yang curiga selepas terlihat beberapa suspek masuk ke dalam rumah melaporkan kepada anggota Skim Ronda Sukarela (SRS) SS 5A yang kemudiannya bertindak menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan petang Jumaat lalu, seorang peragut cedera selepas diterajang seorang pelajar tingkatan 3 yang berang dengan tindakannya yang meragut rantai ibunya.

Dalam kejadian itu, pelajar tersebut dikatakan bertindak berani menendang suspek pada bahagian kepala sehingga topi keledar yang dipakai suspek tercabut.

“Suspek sempat melarikan rantai ibunya dan turut memberikan amaran kepada pelajar itu selepas tidak berpuas hati dia ditendang,” katanya

Laporan kedua-dua kejadian dibuat mangsa di Balai Polis Kelana Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed (gambar) mengesahkan menerima kedua-dua laporan dan kes itu kini sedang disiasat.

No comments:

Post a Comment