Tuesday 4 October 2011

Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda semakin aktif



JAKARTA 4 Okt. - Istana Presiden akan terus memantau perkembangan semasa aktiviti Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda yang semakin aktif sejak kebelakangan ini.
Bahagian yang khusus menangani masalah bantuan sosial bencana alam istana berkenaan berkata, pada masa ini gempa yang terjadi di gunung berapi itu semakin kuat.
"Lonjakan gempa tercetus lebih daripada 1,000 peratus dalam tiga hari ini. Lebih daripada 4,000 gempa yang tercetus dalam pelbagai skala berlaku secara terus-menerus," kata jurucakap Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono bahagian berkenaan, Andi Arief di sini hari ini.
Berdasarkan catatan rakaman alat pemantauan gunung tersebut, kebiasaannya aktiviti gempa secara purata mencapai sebanyak 300 kali.
Ketua Jabatan Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Dr. Surono berkata, berdasarkan teori, perkembangan semasa Gunung Anak Krakatau dengan kadar gempa yang tinggi pasti akan menyebabkan tercetusnya erupsi.
"Bagaimanapun, apakah jenis letusannya masih belum dapat disimpulkan kerana masih dalam tahap pemantauan intensif," jelasnya.
Jabatan berkenaan juga sudah melakukan koordinasi dengan badan yang bertanggungjawab menangani bencana alam untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
Kelmarin, jabatan vulkanologi menjelaskan status Gunung Anak Krakatau kini berada dalam kedudukan berjaga-jaga, termasuk kemungkinan mengumumkan status darurat jika keadaan semakin meruncing.
"Pihak kami juga sudah memaklumkan pada jabatan-jabatan terlibat seperti pasukan keselamatan dan jabatan lain untuk memastikan keselamatan masyarakat,'' kata Andi. - Utusan

No comments:

Post a Comment