Razali Ahmad, 47, berkata, sejadah itu ditinggalkan seorang rakan sekerja di rumahnya lebih setahun lalu untuk menunaikan solat Zuhur pada waktu rehat.
Menurutnya, bagaimanapun selepas lebih setahun digunakan, solatnya menjadi tidak khusyuk selepas memerhatikan corak di bahagian tepi sejadah mirip kepala makhluk menakutkan.
“Masa mula-mula saya tidak perasan, tetapi bila diperhatikan corak itu lama-lama kelihatannya seperti kepala sesuatu makhluk yang lengkap dengan mata dan telinga panjang.
“Disebabkan rasa tidak puas hati, saya meneliti semua sejadah di masjid setiap kali solat Jumaat, tetapi tiada satu pun yang mempunyai corak pelik seperti sejadah saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Razali berkata, untuk meyakinkan apa yang dilihat, corak sejadah itu diambil gambar dan ditunjukkan kepada rakan-rakan dan keluarga sehingga masing-masing terperanjat.
Menurutnya, rakannya memohon maaf kerana selama ini turut tidak perasan mengenai corak pelik di bahagian tepi sejadah yang diselang-selikan dengan corak bunga miliknya walaupun telah lama digunakan.
“Saya tidak pasti apa motif sebenar pihak berkenaan membuat corak sejadah seperti ini dan saya mohon pihak bertanggungjawab lebih peka dengan perkara ini, termasuk orang ramai supaya lebih berhati-hati memilih sejadah kerana ia digunakan untuk kita menghadap ALLAH SWT,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi rakannya, Ahmad Md Tahir, 40, berkata, sejadahnya turut mempunyai corak yang pelik seperti kepala makhluk menakutkan apabila diperhatikan dengan teliti.
Menurutnya, sejadah peninggalan arwah ayahnya yang dibeli di Kedah lebih 11 tahun lalu tidak lagi digunakan kerana menimbulkan rasa was-was setiap kali solat menggunakan sejadah itu.
“Selepas kawan menceritakan mengenai sejadah miliknya yang mempunyai corak pelik, saya turut memeriksa sejadah saya sehingga menimbulkan keraguan apabila coraknya turut mempunyai gambaran kepala yang lengkap bermata dua dan mulut.
“Lebih membuatkan solat tidak khusyuk apabila corak itu berada di bahagian atas tempat dahi sujud sehingga terfikir seolah-olah menyembah makhluk itu pula,” katanya.
Ahmad berkata, setiap kali selepas solat ketika berzikir dan berwirid, penglihatannya sering terganggu dengan gambaran pelik pada corak tersebut.
“Saya nekad tidak mahu menggunakan sejadah itu lagi kerana coraknya begitu pelik dan bimbang boleh menyesatkan.
“Kami membuat pendedahan ini supaya orang ramai lebih berwaspada kerana bimbang ini satu muslihat yang disengajakan untuk ditujukan kepada orang Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment