Tuesday 4 October 2011

Dua ditahan kes edar dadah



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2011/10/05

GIAM menunjukkan dadah  dirampas  di sebuah rumah di Johor Bahru.
GIAM menunjukkan dadah dirampas di sebuah rumah di Johor Bahru.
Heroin, syabu, ecstacy, Eramin 5 dan ketamin ditemui di pangsapuri 

JOHOR BAHRU: Tidak serik! Walaupun mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk mencabul kehormatan, dua lelaki diberkas polis selepas dipercayai menjadi dalang pengedaran pelbagai jenis dadah di sekitar Nusajaya sejak beberapa bulan lalu.
Hasil risikan serta maklumat orang ramai, suspek berusia 45 dan 43 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya dalam serbuan di sebuah unit pangsapuri dekat Bandar Selesa Jaya di sini, kira-kira jam 8.50 malam Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Superintendan Giam Kar Hoong, berkata dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin, syabu, pil ecstacy, pil Eramin 5 dan ketamin bernilai RM57,150. 

“Hasil maklumat yang diperoleh, pasukan kami menahan dua lelaki tempatan terbabit selepas pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah itu menemui pelbagai jenis dadah berselerakan di atas lantai. 

“Antara dadah yang ditemui dan dirampas, heroin seberat 93.3 gram, syabu (64.10 gram), pil ecstasy (476 biji), ketamin (121.3 gram) dan Eramin 5 (13 biji), " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam. 

Katanya, siasatan awal polis percaya dadah terbabit yang menampung keperluan lebih 1,000 penagih, disimpan di rumah itu sebelum diedarkan kepada pengunjung pusat hiburan sekitar daerah ini. 
Beliau berkata, siasatan lanjut turut mendapati dua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk samun, mencederakan orang dengan senjata, pecah rumah serta cabul. 

“Seorang daripada suspek juga positif dadah ketika ditahan dan mereka kini direman sehingga Khamis bagi membantu siasatan," katanya. 

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan merampas dadah heroin seberat 920 gram bernilai RM73,600 menerusi serbuan di sebuah unit pangsapuri dekat Taman Bukit Indah, di sini, pada 28 September lalu. 

Kar Hoong berkata, suspek berasal dari Setiawan, Perak, ditahan sepasukan anggota dan pegawai JSJN Johor susulan mendapat maklumat awam dan risikan.

No comments:

Post a Comment