Tuesday 4 October 2011

Pelajar dituduh rancang bom Pentagon



MASSACHUSETTS 4 Okt. - Seorang pelajar Amerika Syarikat (AS) jurusan fizik semalam mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan merancang untuk mengebom Capitol AS dan Pentagon menggunakan model kapal terbang kawalan jauh yang mengandungi bahan letupan.
Rezwan Ferdaus, 26, turut dituduh merancang menyerang beberapa tempat di Washington dengan menggunakan senjata dan bom tangan.
Dia berhadapan hukuman penjara maksimum 85 tahun, yang cukup untuk membuatnya meringkuk dalam penjara sepanjang hidupnya, jika didapati bersalah atas semua tuduhan.
Mahkamah Persekutuan Worchester, berdekatan Boston, bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan tersebut sehingga 20 Oktober ini bagi memberi masa kepada peguam Rezwan, Catherine Bryne membuat persediaan.
Sebaik-baik sahaja tertuduh memasuki mahkamah, sekumpulan 20 ahli keluarga Rezwan yang hadir menjerit 'Kami di sini untuk anda' dan 'Kami sayangkan anda' sebagai tanda sokongan terhadapnya.
Dia kelihatan tenang ketika tuduhan terhadapnya dibacakan, walaupun saudara-maranya yang hadir beremosi dan ibunya menangis dengan kuat.
Pelajar lepasan Universiti Northeastern itu merupakan antara rakyat AS yang ditahan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam operasi rahsia untuk membanteras serangan yang dirancang dilancarkan terhadap negara ini.
Pegawai FBI menjelaskan taktik tersebut merupakan sebahagian daripada cara menentang ancaman keganasan dari dalam negara ini dengan menggunakan intipan telefon, penyamaran dan mendapatkan maklumat daripada masyarakat Islam di AS.
Bagaimanapun, beberapa peguam dan kumpulan hak asasi manusia mengkritik taktik FBI yang mempunyai banyak perangkap, dengan ejen-ejennya yang kadang-kala memudahkan rancangan untuk melakukan serangan termasuk memperdayakan suspek dengan membekalkan peluru berpandu antipesawat Stinger serta bahan letupan.
Dalam kes Ferdaus, pihak pendakwa raya berkata, dia merupakan penyokong kumpulan pengganas al-Qaeda yang membuat perancangan untuk berjihad dan mencetuskan pertumpahan darah di Washington. - AFP

No comments:

Post a Comment