Tuesday 4 October 2011

Tinggal sehelai sepinggang



BAGAN SERAI - “Sungguhpun banyak harta benda musnah, termasuk wang tunai RM1,000 yang tersimpan dalam rumah ketika kebakaran berlaku, saya tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga termasuk anak saudara saya selamat,” kata mangsa kebakaran, Fauzi Yahaya, 46, ketika menceritakan kembali detik rumahnya hangus dijilat api.

Rumah kediaman Fauzi bersama keluarganya di alamat 178, Parit Gabis Bawah, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku pada jam kira-kira 11.30 pagi, kelmarin, menyebabkan mereka kini tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Fauzi, dia dan ahli keluarga yang lain tidak berada di rumah ketika kejadian, namun dimaklumkan oleh jirannya, api merebak dengan cepat, memusnahkan rumah dan harta bendanya.

“Pada masa kejadian saya dan isteri, Rohani Ishak, 40 masing-masing berada di tempat kerja, di Semanggol, sementara anak-anak kami serta anak saudara yang tinggal bersama di rumah ini berada di sekolah.

“Saya terkejut ketika menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan saya tentang kejadian itu, dan terus pulang ke rumah daripada tempat kerja,” katanya ketika menerima lawatan daripada Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, merangkap Penyelaras Parlimen Bagan Serai, Datuk Zaili Cha, semalam.

Hadir sama, Penyelaras Dun Selinsing, Abdul Moin Mustafa; Setiausaha BN Parlimen Bagan Serai, Zulkarnain Ismail; Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Serai, Asmah Ramli; Ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad; Ketua Puteri Umno Bahagian Bagan Serai, Norsyuhada Baharon; Penghulu Mukim Bagan Serai, Azahari Saad dan Ketua Kampung Parit Gabis, Azmi Samsudin.

Katanya, beliau hanya dapat melihat rumahnya yang telah hangus dan pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran ketika sampai di rumah.

“Sedih tidak terkata melihat rumah yang didiami bersama keluarga musnah di hadapan mata sendiri, ditambah pula degan semua perkakas rumah termasuk perabot, barangan dapur, dokumen penting dan kelengkapan sekolah anak-anak hangus sepenuhnya.

Fauzi memaklumkan kerugian dianggarkan sebanyak RM50,000 dan pasukan bomba masih menyiasat punca kejadian, sementara dia sendiri bersyukur kerana rumah ibunya yang berhampiran tempat kejadian tidak mengalami sebarang kerosakan.

“Rumah saya sebenar baru diganti bumbung selepas dilawat Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada tahun lalu dan kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibu saya sementara menunggu rumah bantuan yang dijanjikan siap dibina,” katanya.

Sementara itu, Zaili yang turut menghulurkan sumbangan RM1,000 daripada Umno Bahagian Bagan Serai berkata, Umno serta BN Bahagian Bagan Serai bersimpati dengan kejadian yang menimpa Fauzi sekeluarga.

Zaili turut menyampaikan bantuan daripada Tabung Bencana Daerah Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Baitulmal Daerah Kerian, masing-masing sebanyak RM1,000 serta bantuan makanan daripada JAbatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya akan cuba mendapatkan bantuan melibatkan peralatan dan kelengkapan sekolah, selain bantuan buku-buku dan makanan melalui program Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang akan diuruskan secepat mungkin oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kerian kepada dua anak Fauzi serta anak saudaranya.

“Dua anak Fauzi serta anak saudaranya, masing-masing merupakan pelajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Medan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bakar al-Baqir dan kita juga akan menyumbangkan tiga basikal untuk kemudahan mereka ke sekolah,” katanya.

No comments:

Post a Comment