Tuesday, 4 October 2011

Pelajar kolej maut terseret



BANDAR BARU BUKIT MENTOK – Hasrat seorang pelajar kolej untuk pulang ke rumah selepas selesai menghadiri kelas tidak kesampaian apabila maut dalam nahas dengan sebuah van dalam kejadian di Jalan Bukit Mentok – Tempurung, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa, Yusof Nik Ismail, 20, yang dalam perjalanan pulang dari Kolej Nadi Mahir, Taman Chukai Utama ke rumahnya di Binjai meninggal dunia di tempat kejadian selepas terseret sejauh kira-kira 14 meter dari lokasi motosikalnya bergesel dengan sebuah van dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, kemalangan berkenaan dipercayai berlaku apabila van dari arah Chukai berhenti hendak membelok ke Taman Bandar Baru Bukit Mentok sebelum bergesel dengan motosikal Honda EX5 yang dinaiki mangsa yang dikatakan mahu memotong secara tiba-tiba.

“Akibat pergeseran itu penunggang motosikal jatuh meleret di atas jalan sejauh kira-kira 14 meter sebelum terkena tebing longkang konkrit di tepi jalan.

“Berdasarkan kad pengenalan, mangsa beralamat di Bandar Seri Bandi tetapi tinggal bersama keluarga di Binjai,” katanya.

Menurut Abdullah Sani, pemandu van yang berusia 50 tahun ketika kejadian dalam perjalanan dari tempat kerjanya juga di Taman Chukai Utama untuk pulang ke rumahnya di Taman Bandar Baru Bukit Mentok yang diduduki sejak enam tahun lalu.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan mendapati punca kematian akibat kecederaan parah pada kepala selain mangsa turut mengalami patah tangan kanan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah selepas topi keledar yang dipakai pecah.

“Jadi kita juga nasihatkan orang ramai memakai topi keledar yang diluluskan sahaja bagi penjagaan keselamatan yang maksimum,” katanya.

Menurutnya, bagai-manapun polis masih lagi menjalankan siasatan terperinci mengenai kes berkenaan dan meminta saksi melihat kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman menerusi talian 09-859 2222.

No comments:

Post a Comment