Tuesday 4 October 2011

Rakan Saiful beri keterangan



Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bharian.com.my
2011/10/05

MOHD NAJWAN (kanan) keluar selepas memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, semalam.
MOHD NAJWAN (kanan) keluar selepas memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, semalam.
Saksi keenam dakwa bekas pembantu ketua pembangkang benci Anwar 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak pernah menyanjung Datuk Seri Anwar sebagai pemimpin, malah menyifatkan ketua pembangkang itu tidak boleh dipercayai.
Bekas rakan universiti Mohd Saiful, Mohd Najwan Halimi, 26, berkata, ketika menuntut di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Mohd Saiful juga pernah muat turun gambar Anwar dalam laman sosial Friendster miliknya dengan keterangan bergambar ‘Anwar Pemimpin Munafik’.
Mohd Najwan yang kini pegawai di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, berkata sepanjang pergaulannya dengan Mohd Saiful di antara tahun 2003 hingga 2008, bekas pembantu Anwar itu adalah pemimpin pelajar prokerajaan, malah laman sosialnya dimuatkan logo Barisan Nasional (BN) berserta gambarnya dengan beberapa bekas menteri yang juga pemimpin BN. 

Menjawab soalan pemeriksaan utama peguam Anwar, S N Nair sama ada betul jika Mohd Saiful menyatakan beliau menyanjung Anwar, saksi keenam pembelaan itu berkata: “Tidak, dia benci Anwar.” 

Dalam perbicaraan sebelum ini Mohd Saiful yang juga saksi utama perbicaraan kes liwat itu dalam keterangannya berkata Anwar pemimpin idola diminatinya sejak kecil. 

Mohd Najwan berkata, beliau terkejut apabila bertemu Mohd Saiful bersama-sama kakitangan Anwar ketika ceramah di Subang Jaya pada penghujung Februari 2008. 
“Apabila saya bertanya apa beliau buat di situ, beliau jawab mahu melihat-lihat. Kemudian saya mendapat tahu beliau bekerja dengan Anwar di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR). Saya terkejut kerana ketika di kampus beliau tidak cenderung kepada Anwar. 

“Saya pernah menghantar e-mel kepada Anwar memberitahu saya curiga pembabitannya (Mohd Saiful) dan beliau tidak layak menjadi pembantu Anwar kerana lebih menyokong pemimpin BN,” katanya. 

Ketika disoal Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, adakah pelik bagi pemimpin pelajar bergambar dengan bekas menteri terutama jika diundang ke majlis anjuran universiti, Mohd Najwan menjawab: “Tidak”. 

Menjawab soalan Mohamed Yusof mengapa dalam keterangannya beliau mengatakan Mohd Saiful tidak memandang tinggi kepada Anwar, Mohd Najwan berkata; “Beliau sebagai pemimpin mahasiswa iaitu Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), beliau suruh saya sokong kerajaan, beliau kata Anwar tidak boleh dipercayai,”. 

Ditanya mengapa beliau tidak mendapatkan penjelasan daripada Mohd Saiful berhubung tindakannya bekerja dengan Anwar sedangkan tidak menyokong ketua pembangkang itu, saksi menjawab; “Saya bukan kawan baik beliau, cuma kawan biasa”. 

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bersambung Khamis ini.

No comments:

Post a Comment