Tuesday, 4 October 2011

Bilal dakwa kena pukau



KAMPUNG JAWA - Seorang bilal di sini kerugian RM120 selepas didatangi seorang lelaki yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di rumahnya sebelum berjanji untuk memberikan bantuan kewangan kepadanya.

Mangsa, Kaslan Kalimon, 90, berkata, kejadian tersebut berlaku selepas dia selesai menunaikan solat Jumaat minggu lalu apabila seorang lelaki yang menaiki motosikal datang ke rumahnya yang mendakwa sebagai kakitangan JKM.

Menurutnya, kehadiran lelaki tersebut adalah untuk memantau kerosakan yang terdapat di rumahnya sebagai syarat untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada JKM.

Kaslan berkata, sebelum ini dia tidak pernah menerima sebarang bantuan bulanan daripada JKM dan memang tidak mengenali kakitangan berkenaan berikutan tidak pernah melakukan sebarang urusan dengan jabatan tersebut.

“Sebaik lelaki itu memasuki rumah, dia hanya berlegar sambil diikuti saya sendiri untuk melihat perkara yang dicatatkan. Sebaik tiba di dalam bilik, dia bertanyakan berapa jumlah wang tunai yang ada dan meminta saya mengeluarkan semuanya.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa ketika itu. Selepas mengambil wang tunai, lelaki tersebut masih berlegar-legar di dalam rumah saya sebelum keluar dan memberitahu saya akan menerima bantuan daripada JKM,” katanya.

Menurutnya, selepas sahaja lelaki tersebut pulang, dia kembali ke bilik untuk melihat wang yang dikeluarkannya. Namun, semua wang tiada dan dia merasakan seperti dipukau apabila menurut semua arahan yang diberikan lelaki tersebut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Segamat.

Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Segamat, Khairu Asri Ismail berkata, penyamaran seperti itu dilihat semakin berleluasa dan amat membimbangkan pihaknya kerana dikhuatiri lebih ramai mangsa akan tertipu dengan helah yang dilakukan selain memburukkan nama JKM.

“Pada tahun lalu, kita telah menerima aduan berkenaan perkara ini dan ia meningkat pada tahun ini sebanyak tujuh kes yang dilaporkan.

“Melalui aduan yang pernah kita terima, kebayakan penyamar ini akan menggunakan nama kakitangan di JKM dan berpura-pura memeriksa peralatan rumah sebelum membawa lari wang tunai atau barang berharga,” katanya.

No comments:

Post a Comment