Tuesday, 4 October 2011

Bapa terkejut kembar siam kongsi jantung

KUALA TERENGGANU: “Saya risau mengenangkan nasib dua bayi kembar saya, Nor Shazwanie dan Nor Shazrinie apabila imbasan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan mereka berkongsi jantung yang dalam keadaan tidak sempurna dan mungkin bermasalah,” kata Zulkifli Ngah, 41, bapa kepada bayi kembar siam yang dirujuk ke HKL, semalam.
Menurut bapa empat anak itu, imbasan doktor pakar di HKL itu mendapati bayi kembarnya hanya mempunyai satu setengah bahagian jantung dan tidak lengkap.

“Kami tiba di HKL dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kira-kira jam 6 pagi selepas Nor Shazwanie dan Nor Shazrinie dirujuk ke HKL bagi menjalani imbasan bagi menentukan sama ada mereka boleh dibedah untuk dipisahkan.

“Keputusan imbasan diterima sememangnya mengejutkan saya. Buat masa ini, saya perlu menunggu hingga Jumaat ini bagi mendapatkan laporan penuh mengenai perkembangan kesihatan anak saya sebelum perbincangan dibuat sama ada mereka boleh dibedah atau tidak.

“Perkara itu sememangnya merisaukan dan mendebarkan saya. Namun, apa mampu saya lakukan berdoa semoga mereka selamat. Malah, isteri, Noraini Mohamad, 31, juga sudah dimaklumkan mengenai keadaan bayi kami dan dia mungkin akan datang ke HKL, Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zulkifli yang bekerja sebagai penjual ikan berkata, bayi kembarnya kini diletakkan di bawah pemantauan Ketua Jabatan Bedah Pediatrik HKL, Datuk Dr Zakaria Zahari yang juga pakar dalam bidang berkenaan dan pernah mengetuai pembedahan memisahkan bayi kembar siam, Nur Badrishah dan Nur Bahiyah Norhisyam pada 2008.


Nur Badrishah dan Nur Bahiyah bersambung di abdomen dan tidak mempunyai punggung, tetapi masing-masing memiliki sepasang kaki dan tangan.

Zullkifli berkata, bayinya itu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi HKL dan masih menggunakan alat bantuan pernafasan serta diberi minum susu formula menerusi tiub yang dimasukkan ke mulut.

Sementara itu, Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain dalam satu kenyataan berkata, HKL menerima sepasang bayi kembar siam perempuan dari HSNZ pada jam 6.30 pagi semalam dan satu pasukan pakar bedah kanak-kanak HKL diketuai Dr Zakaria membuat pemeriksaan lanjut terhadap bayi terbabit.

Menurutnya, pakar akan merancang kaedah rawatan selanjutnya dengan persetujuan daripada kedua-dua ibu bapa bayi kembar siam berkenaan yang kini berada dalam keadaan stabil.

No comments:

Post a Comment