Tuesday 4 October 2011

Tujuh didakwa miliki senjata api, peluru




Tujuh tertuduh termasuk tiga warga asing mengaku tidak bersalah atas tuduhan miliki senjata api dan peluru di Mahkamah Sesyen, Melaka, semalam.


MELAKA 4 Okt. - Tujuh individu termasuk tiga warga asing dihadapkan di dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api dan peluru di sebuah rumah di Taman Semabok Permai pada Jun tahun lalu.
Mereka terdiri daripada Goh Eng Tee, 36, Sow Teik Lee, 36, Emery Shazman Abd. Malek, 35, Teo Bee Keng, 29, bersama Tursini Turida, 21, dari Indonesia dan Lin Xiren, 28, serta Ye Yu Feng, 27, masing-masing dari China.
Di Mahkamah Sesyen di sini, kesemua mereka didakwa dengan niat bersama memiliki sepucuk pistol berjenama Sig Sauer Mosquito bersama dua kelopak peluru dengan jenama sama di sebuah rumah di Jalan SP 1, Taman Semabok Permai di sini pada pukul 1.30 pagi, 4 Jun 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin tidak menawarkan jaminan berikutan semua tertuduh kini sedang dibicarakan bagi kes mengedar pelbagai jenis dadah sintetik seberat 13,809.47 gram yang bermula tahun lalu.
Bagi tiga pertuduhan membabitkan pengedaran pelbagai jenis dadah itu, mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Hakim Zaharah Hussain tidak membenarkan kesemua tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu, diikat jamin dan menetapkan 2 November depan sebagai sebutan semula kes itu.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini pula, semua tertuduh didakwa dengan niat bersama memiliki empat butir peluru hidup jenis Caliber .22 pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Ida Rahayu membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan untuk disebut bersama kes memiliki peluru di Mahkamah Sesyen pada tarikh yang sama.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment