Tuesday, 4 October 2011

Pesakit wanita rasa teraniaya



TAIPING – Seorang wanita, di sini, merasa teraniaya dan tidak berpuas hati dengan tindakan sebuah hospital yang didakwa tidak menjalankan rawatan dengan sewajarnya.

Rokiah Abdullah, 47, berkata, masalah bermula apabila dia tersalah makan dan mendapatkan rawatan doktor di sebuah hospital kerana mengalami sakit perut.

Menurutnya, doktor memberitahu bahawa sakit itu mungkin disebabkan ketumbuhan fibroid dan dia telah menjalani pembedahan pada 2 Jun lalu.

“Bagaimanapun, sehari selepas pembedahan itu, saya masih lagi sakit di bahagian kanan bawah perut.

“Saya bertanya pada doktor mengapa saya masih sakit dan terkejut apabila diberitahu pembedahan yang dilakukan itu kerana apendiks,” katanya.

Rokiah berkata, dia sekali lagi tidak percaya apabila melihat bekas pembedahan yang sangat panjang seperti pembedahan untuk mengeluarkan fibroid.

“Dengan teknologi canggih, sudah tentu pembedahan apendiks boleh dilakukan tanpa pembedahan sebegitu.

“Selepas pulang ke rumah, saya masih lagi sakit dan terpaksa mengambil ubat di klinik swasta bagi mengurangkan kesakitan yang dialami,” katanya.

Katanya, selepas kejadian itu, dia ada bertemu pihak berkenaan tetapi sehingga kini masih tiada jawapan dan menunggu untuk dipanggil semula.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana yang menanggung penderitaan adalah pesakit.

“Semua orang mahu sembuh dan menjalani kehidupan lebih baik, tetapi berbeza pula dengan situasi saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment