Tuesday, 4 October 2011

Amah mati jatuh kondo

PETALING JAYA: Seorang pembantu rumah warga Indonesia ditemui mati akibat terjatuh dari tingkat lapan sebuah kondominium dipercayai cuba melarikan diri dari rumah majikannya di Kelana Jaya, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Rini, 30, nekad menyelinap keluar melalui tingkap rumah majikannya menggunakan wayar kabel televisyen sebagai bantuan untuk turun ke tingkat bawah.

Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Medan dikatakan baru bekerja dengan majikannya sejak 29 September lalu dan mengalami masalah apabila tidak begitu gembira bekerja di tempat baru itu.

“Berikutan itu, mangsa dihantar ke rumah saudara majikannya di sini, awal pagi kelmarin sementara menunggu mereka dihubungi agensi pekerja asing yang akan menjemput mangsa pada keesokan hari.

“Bagaimanapun, mangsa menyelinap keluar melalui tingkap rumah berkenaan semalam (kelmarin) selepas mengetahui wakil agensi pekerja asing itu akan datang menjemputnya,” katanya Mangsa mati di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment