Tuesday 4 October 2011

Taktik baru seludup dadah dikesan




NOOR Rashid Ibrahim (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di KLIA pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM2.17 juta melibatkan warga asing yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sejak hujung bulan lalu.
Nilai rampasan itu diperoleh hasil daripada tujuh kes membabitkan seramai 12 tangkapan warga asing yang menggunakan taktik baru membawa masuk dadah ke dalam negara ini termasuk menggunakan komputer riba dan produk kosmetik.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, taktik baru itu dikesan apabila pihaknya menahan seorang lelaki warga Nigeria yang cuba membawa masuk dadah melalui KLIA pada 26 September lalu.
"Hasil siasatan lanjut, polis menemui dua kilogram dadah jenis syabu dalam beg yang mengandungi alat muzik jenis trompet yang dibawa oleh suspek.
"Terdapat juga sindiket yang memasukkan dadah dalam botol-botol produk kosmetik bagi mengelirukan pihak berkuasa negara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Noor Rashid mendedahkan, turut dikesan adalah taktik menyembunyikan dadah di bahagian bawah papan kekunci dan bahagian belakang skrin komputer riba serta di dalam pembesar suara.
"Sehingga kini, 25 ketulan dadah jenis syabu dikeluarkan dari perut seorang lelaki warga Pakistan yang sanggup menelan ketulan dadah tersebut bagi mengelak daripada dikesan pada Khamis lalu," katanya.
Beliau berkata, kesemua 12 suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki warga Iran, lima lelaki Nigeria dan masing-masing satu lelaki warga Pakistan dan Benin serta seorang wanita warga Filipina berusia antara 23 hingga 41 tahun.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment