Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi semalam, mayat seorang lelaki, Saw Yew Siang, 56, berasal dari Tumpat, ditemui di kawasan kebun di Kampung Kubang Palas, Binjai, dekat sini. Seorang saksi kejadian, Mohd Zamizi Mohamad, 42, berkata, setiap pagi dia bersama isterinya Siti Mariam Hamzah, 38, ke kebun untuk mengutip sayuran sebelum dijual ke pasar tani. Menurutnya, apabila sampai di kawasan kebun dia tergamam kerana terjumpa plastik berlumuran darah dan pada masa sama setelah memerhatikan keadaan sekitar, turut ternampak seorang lelaki dalam keadaan tertiarap. “Selepas melihat dari jauh ia adalah seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri saya dan isteri terus meninggalkan kebun kerana terlalu takut. “Kemudian saya bergegas memberitahu penduduk sekitar dan kemudiannya saya menghubungi polis selepas penemuan tersebut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam. Sementara itu, isteri mangsa, Mek Kemong, 54, berkata, suaminya keluar rumah kira-kira jam 8.30 malam kelmarin ketika dia masih tidur. Katanya, dia hanya menyedari suaminya itu tiada di rumah kira-kira jam 12 tengah malam selepas terjaga dari tidur dan cuba menghubunginya lebih 10 kali tetapi gagal. ”Saya syak ada orang bunuh suami saya. Biasanya suami saya keluar dengan kereta sendiri tetapi malam tadi, saya difahamkan ada seseorang yang datang mengambilnya di rumah untuk tujuan melihat tanah. “Sebelum itu, saya tidak memaklumkan kepada sesiapa bahawa suami saya masih belum pulang tetapi disebabkan terlalu bimbang dengan keselamatannya, sebaik sahaja bangun dari tidur, saya pun memberitahu anak bongsu saya, Saw Kim Swee, 28, mengenai keadaan sebenar,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, semalam. Katanya, dia amat terkejut kerana beberapa minit selepas itu anak bongsunya menerima panggilan telefon daripada polis memaklumkan berhubung penemuan mayat suaminya dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk membuat pengecaman mayat. |
Tuesday, 4 October 2011
Suami isteri terkejut jumpa mayat
Labels:
bunuh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment