Tuesday, 4 October 2011

Cari helah baiki kereta



KOTA TINGGI - Helah seorang lelaki disyaki pengedar dadah yang berpura-pura membaiki kenderaannya di hadapan sebuah bengkel untuk mengaburi pihak berkuasa tidak berjaya apabila dia ditahan bersama 1,376 gram tumbuhan kering mampat dipercayai ganja dan pedang samurai, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, polis juga mendapati kereta Gen 2 berwarna kelabu yang digunakan suspek itu juga disyaki kereta curi yang dilaporkan hilang di Kulaijaya pada 25 Ogos tahun ini.

"Serbuan dilakukan kira-kira jam 7.30 malam Isnin lalu (3 Okt) oleh pasukan narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi yang diketuai Inspektor Calvin Lewis Edmond.

"Intipan yang dibuat di hadapan sebuah bengkel membaiki kenderaan di Jalan Wayang berhampiran Sungai Johor itu membuahkan hasil apabila kereta suspek muncul di bengkel berkenaan.

“Pemandunya telah berhentikan kereta dan turun berpura-pura melakukan sesuatu, seolah-olah ingin membaiki kenderaan. Suspek juga cuba melarikan diri apabila pihak polis menghampirinya namun berjaya di tahan selepas berlakunya pergelutan," katanya pada satu sidang media di IPD Kota Tinggi, semalam.

Selepas pemeriksaan dilakukan dalam kenderaan tersebut katanya, polis menemui sebuah beg yang di dalamnya terdapat satu ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja dengan berat kasar 918 gram, dua helai pakaian dan sebilah pedang samurai sepanjang 55 sentimeter.

"Di tempat yang sama juga terdapat satu beg kertas mengandungi ketulan mampat tumbuhan dipercayai ganja dengan berat kasar 458 gram.

"Berdasarkan jumlah dadah yang dirampas itu, dipercayai ia dapat menampung keperluan lebih 1,000 penagih dadah," katanya.

Abdul Samad berkata, polis percaya dengan penahanan suspek berusia 28 tahun yang berasal dari Felda Lok Heng itu dapat mematahkan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja sekitar daerah ini.

Semakan juga mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman bermula semalam hingga 10 Oktober ini.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 32 ADB 1988.

No comments:

Post a Comment