“Walaupun tidak dapat menyelamatkan barangan dalam rumah, namun saya bersyukur tidak terperangkap dalam kebakaran,” kata mangsa kebakaran, Mustapha Awang, 70, di Kampung Langgut, Dewan Beta, di sini, semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang itu menyebabkan kediaman warga emas terbabit yang menetap bersama isteri, Zainab Ismail, 60, serta dua cucu dan anaknya musnah serta-merta dalam kejadian itu.
“Semasa kejadian hanya saya berada di dalam rumah terbabit lagipun saya kurang sihat sejak seminggu lalu.
“Isteri keluar menjual kuih di sekitar Kota Bharu manakala anak dan cucu juga tiada di rumah kerana mempunyai urusan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.
Mustapha berkata, dia bertindak nekad melarikan diri apabila melihat api semakin marak membakar rumahnya dalam keadaan sehelai sepinggang.
“Kesemua barangan dalam rumah termasuk wang tunai RM300, geran tanah selain barangan perabot turut musnah. Apa pun saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri daripada kebakaran itu,” katanya.
Sementara itu, menurut salah seorang anaknya, Mohd Saufi Mustafa, 26, ketika kejadian dia tiada di rumah dan terkejut apabila mendapati rumah yang didiami sekian lama hangus dalam sekelip mata.
“Terkejut juga menerima berita ini namun saya tetap bersyukur kerana ayah yang mengalami demam seminggu lalu dapat menyelamatkan diri,” katanya.
Sementara itu menurut Ketua Operasi Bomba Balai Darul Naim, Penolong Penguasa, Mat Nordin Ibrahim sebuah jentera dan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kami menerima panggilan kira-kira jam 1.42 petang dan semasa tiba 10 minit kemudian, hampir 90 peratus rumah berkenaan terbakar.
“Walaupun api cepat marak namun pihak kami berjaya mengawal api jam 1.55 petang dari terus merebak,” katanya.
Beliau berkata, kerugian dianggar bernilai RM60,000 dan punca kejadian masih disiasat.
No comments:
Post a Comment