Tuesday, 4 October 2011

18 kereta terpakai musnah



TEMERLOH – Sebuah kedai menjual kereta terpakai hangus dalam kebakaran awal pagi semalam mengakibatkan 18 kereta terpakai yang ditempatkan di situ musnah sama sekali.

Kebakaran jam 1.42 pagi semalam di Batu 1 Jalan Maran, dekat seberang Temerloh, itu hampir merebak ke sebuah rumah bersebelahan namun pihak bomba berjaya mengawal api dari merebak.

Pegawai Bomba Daerah, Hamdani Madon berkata, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dengan kekuatan 12 pegawai dan anggota tiba tujuh minit kemudian bagi memadam api.

Menurutnya, pihaknya terpaksa meminta bantuan sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba Mentakab bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 2 pagi dan api berjaya dipadam sepenuhnya empat jam kemudian.

“Kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang pengguna jalan raya Jalani Sidek, 39, dia baru pulang dari sebuah restoran mamak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian api telah marak dan terdengar bunyi letupan kecil dengan api menjulang tinggi di udara.

“Pada mulanya saya ingat rumah yang terbakar, tetapi apabila sampai dekat baru tahu kedai kereta yang terbakar.

“Nasib baik bomba sempat kawal api daripada merebak ke rumah sebelah,” katanya.

No comments:

Post a Comment